Chef Wan Dan Adlin dalam Jangan Tidur Lagi


Dijadualkan pada jam 11 malam ini bahawa rancangan ruang santai Jangan Tidur Lagi yang diacarakan oleh selebriti terkenal, Adlin Aman Ramli, akan menampilkan Datuk Chef Wan sebagai selebriti jemputan program itu.
Sebagaimana maklum, Adlin sebelum ini telah mengisytiharkan ‘perang Facebook’ terhadap selebriti masakan paling panas itu setelah tersingkir dari program realiti anjuran Astro, Maharaja Lawak Mega 2011 (MLM 2011) yang berakhir hujung tahun lalu.

Mungkin panas telinga dikritik Chef Wan diprogram tersebut, Adlin ‘menyerang’ pakar masakan tersebut di laman Facebooknya sehingga menyebabkan Chef Wan berura-ura untuk menutup akaun Fan Club Facebooknya pada hari pertama tahun ini.
Persoalannya, mengapakah Adlin mengundang Chef Wan sebagai selebriti jemputan di rancangan yang diacarakannya itu?
Sekiranya rancangan tersebut dirakam sebelum Adlin mengisytihar perang terhadap Chef Wan, maka ia tidak menjadi sebarang isu untuk diperbahaskan.
Namun sekiranya rakaman rancangan tersebut dibuat baru-baru ini selepas pengisytiharan perang tersebut, maka timbul persoalan mengenai status ‘perang’ antara dua selebriti bermulut “laser” itu.
Apakah pengisytiharan perang Facebook itu hanya sekadar ‘wayang’ yang cuba dibuat Adlin untuk meraih publisiti murahan dari peminat?
Apakah gimik perang itu dilakukan semata-mata untuk mengaburi tanggapan peminat setelah egonya tercalar selepas disingkirkan dari MLM 2011?
Atau Adlin dan Chef Wan berpakat untuk ‘berpura-pura perang’ sesama mereka dan sengaja mahu memanaskan keadaan?
Chef Wan yang seolah-olah merajuk akibat peperangan dengan Adlin pada mulanya memaklumkan akan menutup akaun Fan Club Facebooknya tiba-tiba tidak jadi berbuat demikian dan menjadikan sokongan peminat sebagai alasan untuk menarik balik rajuknya itu.
Malam ini, kita dikejutkan lagi dengan rancangan yang mempertemukan Adlin dan Chef Wan yang kelihatan sangat mesra seolah-olah ‘tiada apa-apa yang berlaku’ di antara mereka berdua.
Yang mana satu betul?
Bergaduh atau tidak?
Peminat nak tahu dan janganlah buat ‘wayang’ lagi.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol