Video “Flashmob” Gamatkan KLIA




“Flashmob” itu yang mempersembahkan nyanyian secara medley di dalam pelbagai bahasa begitu menarik dan menggamatkan suasana KLIA.

Bermula dengan menyanyikan lagu tema MAS, “We Fly”, kumpulan tersebut mengalunkan pula lagu yang dipopularkan Janet Jackson yang berjudul “Miss You So Much” yang dinyanyikan oleh seorang gadis yang disambut teman lelakinya dengan gitar, romantik rancak!
Kemudian, seorang lelaki pula muncul menyanyikan lagu “Istana Menanti” yang dipopularkan oleh Rahim Maarof, sambil mencari-cari kekasihnya yang mungkin dijadualkan tiba dari luar negara.
Ketika suasana sedang sayu melihat lelaki tersebut tercari-cari kekasihnya, seorang gadis berbangsa India menyapa dan dia terus menyanyikan lagu hindustan yang menceriakan, “Aankhein Khuli” yang dipetik dari filem terkenal, Mohabbatein.
Seterusnya, sekumpulan ‘aweks’ pula mengambil giliran masing-masing dengan menyanyi riang ria menyambut kepulangan teman-teman lelaki masing-masing dengan menyampaikan lagu “My Boyfriend’s Back”.
Seorang pemuda berbangsa Cina yang baru tiba bersama sekumpulan pelancong pula tiba-tiba mengambil alih persembahan dengan menyanyikan lagu berbahasa Cina, “Lang Hua Yi Duo Duo” yang dipopularkan oleh penyanyi Richie Ren.
Persembahan diteruskan pula dengan nyanyian lagu “Rindu”, “Balik Kampung” dan “Signed, Sealed, Delivered” yang disampaikan oleh sekumpulan krew kabin yang segak bergaya serta lengkap berpakaian MAS.
“Flashmob” merupakan salah satu daya tarikan terbaru yang menjadi ikutan dan dipersembahkan di lapangan-lapangan terbang di seluruh dunia.
Video klip “flashmob” tersebut turut dimuat turun ke laman Youtube untuk tontonan umum oleh anak syarikat penerbangan itu, MAS Travel.
Menurut nota yang tertera, persembahan itu telah dijayakan oleh kerjasama di antara Kit Kat Klub, kakitangan MAS dan keluarga mereka, pelajar-pelajar Universiti Selangor (UNISEL) serta dibantu oleh kareografer terkenal, Pat Ibrahim, yang pernah menjayakan teater Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee dan Secret Life Of Nora di Istana Budaya.



Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol