Video klip seorang ibu mendera anaknya
yang berusia 10 bulan yang menjadi topik panas beberapa hari lalu telah
mengundang marah banyak pihak bukan sahaja ke atas wanita berkenaan,
namun juga terhadap perakam klip itu.
Ramai yang begitu marah mengapa tukang rakam terlepas dan hanya ibu kanak-kanak berkenaan dikenakan hukuman penjara 18 bulan.
Disebabkan simpati terhadap anak kecil
terbabit, maka boleh difahami mengapa ramai antara kita yang tersinggung
dengan keadaan itu.
Namun, laporan muka hadapan akhbar
paling terkenal dan pilihan ramai pembaca di negara ini, Harian Metro
memperjelaskan bahawa perakam berkenaan, Noor, 30-an adalah sebenarnya
penyelamat kanak-kanak itu, bukannya seorang individu yang suka-suka
merakam kejadian.
“Saya rakam semata-mata untuk diserahkan
kepada polis kerana sudah tidak tahan lihat bayi itu kerap dikasari
ibunya,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan hari ini.
Kes penderaan itu berlaku Mei tahun lalu
di Petaling Jaya dan ibu kanak-kanak itu telah dipenjara 18 bulan
manakala kanak-kanak itu kini selamat dan diletakan di bawah jagaan
keluarga angkat.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
mengesahkan keadaan kanak-kanak berkenaan dan berkata dia kini lebih
ceria dan tidak trauma, bertentangan daripada apa yang disebarkan
individu tertentu melalui laman sosial Facebook dan Twitter.
Selanjutnya Noor berkata, tujuan dia merakam klip itu adalah sebagai ikhtiar terakhirnya untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
“Saya sangat sedih kerana sebelum itu
sudah empat kali wanita terbabit yang juga rakan saya memukul bayinya
dengan teruk termasuk menghumban ke dinding,” katanya ketika ditemui di
rumahnya di Petaling Jaya.
Noor menjelaskan, ketika kejadian itu,
dia berpura-pura memegang telefon bimbit kononnya untuk menghantar
sistem pesanan ringkas (SMS), sebaliknya merakam kejadian itu untuk
dijadikan bahan bukti kepada pihak polis.
Katanya, ketika itu, dia ada meminta
anak perempuannya yang berusia 9 tahun agar mengambil bayi berkenaan,
namun anaknya itu juga dipukul wanita berkenaan yang dikenali sebaga
Ira.
Melihat keadaan itu kata Noor, selepas
hampir lima minit dia menghentikan rakaman dan bergegas mengambil bayi
Ira lalu membawanya masuk ke bilik lain sebelum menguncinya dari dalam.
Noor kemudiannya menghubungi seorang
rakan dan memintanya membuat laporan polis. Kira-kira satu jam selepas
itu, polis tiba di rumahnya dan menahan Ira.
Noor menjelaskan, dia telah berulang kali menasihatkan Ira sebelum
kejadian berkenaan agar jangan menjadikan anaknya sebagai tempat untuk
melepaskan geram.
Ira dikatakan bertindak ganas akibat tekanan hidup terutama selepas ibunya meninggal dunia tahun lalu.
Selepas Ira ditahan, Noor sendiri telah menjaga kanak-kanak berkenaan selama tiga minggu sebelum diserahkan kepada JKM.
Noor juga memberitahu, bukan dia yang
memuat naik klip berkenaan ke mana-mana media sosial kerana rakaman itu
telah diserahkan kepada pihak berkuasa sebelum ini.
Nampaknya ramai antara kita telah tersilap dan buruk sangka kepada Noor sedangkan kerana dialah kanak-kanak itu selamat.
sumber:mynewshub.my
No comments :
Post a Comment