Tanah runtuh, Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara



KUALA LUMPUR - Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau, Bukit Ampang petang tadi.

   
Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lepas.
   
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya kepada Bernama malam ini.
   
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.
   
Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang tadi.
   
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.
   
"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya. - Bernama

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol