MAS unjur keputusan suku pertama lebih baik



KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS), yang sedang mengumpul dana, mengunjurkan keputusan kewangan suku pertamanya yang dijadualkan pada 31 Mac, 2013, lebih baik berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.


"Kebiasaannya suku pertama lebih rendah disebabkan Disember merekodkan aktiviti perjalanan yang besar," katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Bagi setahun penuh 2013, beliau berkata ia masih "terlalu awal untuk menyatakannya" namun menambah, syarikat penerbangan negara itu melaksanakan semua inisiatif untuk erealisasikan keputusan yang dikehendaki.

Ahmad Jauhari berkata suku keempat berakhir 31 Dis, 2012 mencatat keputusan yang kukuh.

"Kami merekodkan faktor muatan 77.3 peratus," kata Ahmad Jauhari dan menambah keputusan kewangan penuh akan diumumkan pada akhir bulan ini.

MAS mengangkut 3.718 juta penumpang sepanjang suku itu, dengan 1.403 juta merupakan pengguna domestik dan 2.315 juta pengguna antarabangsa.

Ia mencatat 81.4 peratus bagi Disember sahaja.

Ia turut dibantu oleh penggunaan pesawat menerusi kekerapan yang ditingkatkan ke beberapa destinasi serantau paling popular selain masa berlepas dan mendarat yang lebih cepat di lapangan terbang.

MAS mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM39.103 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2012, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM461.540 juta dalam suku yang sama setahun lepas.

Perolehan berkurangan kepada RM3.47 bilion berbanding RM3.56 bilion.

Mengenai terbitan hak syarikat penerbangan itu, Ahmad Jauhari berkata harga terbitan akan diumumkan awal bulan depan.

Awal bulan ini, MAS mencadangkan penstrukturan dan terbitan hak boleh lepas bagi mengumpul RM3.1 bilion.

Ia merupakan bahagian keempat program pembiayaan bagi membaiki lembaran imbangan, yang kini mencatat kerugian terkumpul kira-kira RM8 bilion.

MAS memulakan program Sukuk RM1.5 bilion tahun lepas, pembiayaan jangka pendek daripada bank untuk pembiayaan pesawat serta menubuhkan jentera tujuan khusus untuk pembelian pesawat.

"Menerusi program pembiayaan itu yang diharap dapat dijayakan, kami akan memiliki lembaran imbangan yang lebih kukuh untuk membeli pesawat baharu dan memanfaatkan pertumbuhan rantau ini.

"Tanpa lembaran imbangan yang kukuh, kami tidak boleh memperoleh pesawat dengan lancar," kata Ahmad Jauhari.

Syarikat penerbangan itu kini agresif menggantikan pesawat memandangkan purata umur pesawat akan mencecah tujuh tahun menjelang akhir tahun ini.

"Tahun ini sahaja, kami akan menerima satu pesawat 738 setiap bulan menjadikan 12 penyerahan dan baki sembilan daripada 35 pesawat akan diterima tahun depan.

"Selain itu, kami juga akan menerima empat pesawat baharu A330s tahun ini dengan pesawat terakhir awal tahun depan bagi melengkapkan 15 tempahan yang dibuat."

Minggu lepas MAS menerima pesawat A380 kelimanya dan kan menerima pesawat keenam akhir Mac ini, yang sekali gus melengkapkan program  A380.

Program memperbaharui kumpulan pesawat MAS bermula pada 2010 membabitkan 35 B737-800 baharu dan pada 2011 sebanyak 15 pesawat A330, selain enam A380s yang ditempah lebih awal.

"Kami kini memiliki kumpulan pesawat baharu yang menjimatkan bahan api. Diharapkan kami akan dapat menjimatkan bahan api berbanding pesawat sedia ada.

"Kos bahan api membabitkan 38 peratus daripada kos operasi. Sebarang penjimatan bahan api, dapat dirasai segera," kata Ahmad Jauhari. - Bernama

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol