KUALA LUMPUR - Promosi tambang istimewa Malaysia Airlines (MAS) sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah mendapat sambutan amat menggalakkan dengan sekitar 34,000 tempat duduk ditempah semasa kempen dua minggu yang berakhir semalam.(30.4.2013)
Walaupun promosi tambang istimewa sudah tamat namun syarikat penerbangan nasional itu masih melihat permintaan tinggi antara 3 dan 7 Mei ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, hari ini.
MAS menawarkan tambang istimewa kepada rakyat Malaysia untuk pulang bagi mengundi pada PRU13, 5 Mei ini.
Semasa promosi tambang khas dari 16 hingga 28 April, tambang kelas ekonomi yang merangkumi kesemua bayaran dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Pulau Pinang, Terengganu, Kuantan, Kota Baharu, Johor Baharu dan Langkawi bermula serendah RM130.
Tambang kelas perniagaan bagi destinasi tersebut bermula dari RM713.
Ahmad Jauhari dalam kenyataan berkata tiket penerbangan bagi laluan paling popular seperti Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Baharu habis ditempah dalam tempoh sejam.
Berikutan permintaan tinggi bagi laluan tersebut, beliau berkata MAS akan mengadakan penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur-Alor Setar (pergi-balik) pada 5 Mei, Kuala Lumpur-Kota Baharu (balik) pada 5 dan 6 Mei dan Kuala Lumpur-Terengganu (balik) pada 6 Mei ini.
"Sempena tawaran khas ini, penumpang dibenarkan membawa bagasi berat sehingga 7kg ke dalam kabin berbanding 5kg manakala penumpang kelas perniagaan dibenar membawa dua bagasi dengan setiap satu tidak melebihi berat 7kg," katanya. - Bernama
No comments :
Post a Comment