KERAJAAN BELUM BINCANG PEMBERIAN BONUS AIDILFITRI



PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.
 
"Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
 
Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.
 
"Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.
 
Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk 'Meningkatkan Kualiti Kawal Selia dan portal 'Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia'.
 
Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
 
Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
 
Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
 


-- BERNAMA











No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol