Program raya yang menarik




Dalam tekun mengejar fadhilat Ramadan, tanpa disedari bulan Ramadan hampir melabuhkan tirainya dan Syawal pula bakal menjelang tiba. Menghimpunkan lebih daripada 50 program terbaik yang merangkumi telefilem, filem blockbuster, program kanak-kanak, muzikal, dramedi dan variasi, TV3 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan 7 program majalah & dokumentari terbaik sepanjang raya.


Antaranya, Malaysia Hari Ini Khas Raya, Jejak Rasul Raya, Nona Raya, Budak Zapin, Unsung Places Echoes of Ummah Raya, Ceritaku dan Kisah Mualaf yang bakal berkongsi pelbagai kisah kehidupan manusia dalam meraikan bulan Ramadan dan Syawal di Malaysia dan juga negara-negara di mana Muslim merupakan masyarakat minoriti seperti Nepal dan IndoChina. Dalam keriangan umat Islam membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, terdapat juga segelintir masyarakat yang berasa sayu apabila terkenang atas kehilangan insan tersayang ataupun tragedi yang menimpa. Dengan itu, TV3 ingin mengajak para penonton untuk menyelami isi hati mereka menerusi paparan istimewa ini.

Malaysia Hari Ini Khas Raya, (Raya Pertama & Raya Kedua, 6.30 pagi – 9.00 pagi, Raya Ketiga & Raya Keempat, 8.00 pagi – 9.30 pagi)
Malaysia Hari Ini (MHI) Khas Raya pada raya pertama hingga keempat (8-11 Ogos 2013) bakal menampilkan artis-artis popular tanahair seperti Dato’ Shake, Dato’ DJ Dave, Fransisca Peter, Didie Alias, Ebby Yus, Aman Shah, Suki, Soo Wincci, kumpulan adik beradik Nada Akustika. Selain itu, MHI Raya juga menampilkan muka baru seperti Achey & Bocik (dari rancangan realiti Bintang Mencari Bintang) dan dimeriahkan lagi dengan persembahan dari kumpulan band Intan & The Boys (dulu dikenali sebagai Ella & The Boys) dan Siblings Band.

Sepanjang siaran dari 6.30 hingga 9.00 pagi (raya pertama & kedua) manakala 8.00 hingga 9.30 pagi (raya ketiga & keempat), penonton berpeluang untuk menghubungi MHI, berbual dengan hos dan artis jemputan serta menyampaikan ucapan raya. Penonton bertuah yang berjaya menembusi talian juga akan menerima duit raya sekiranya beliau dapat menjawab soalan mudah berdasarkan kandungan perbualan atau topik MHI pada hari tersebut.

Pada raya pertama, MHI akan berlintas langsung dari Masjid Negara dengan membawakan solat sunat Aidilfitri. Manakala pada raya kedua pula, MHI akan berlintas langsung dari rumah rakan FB MHI, keluarga Anak Cucu Tok Haron yang menjadi popular tahun lalu selepas memuat naik video klip lagu raya-gangnam style di laman Youtube.

Jejak Rasul Raya, Raya Pertama, 6.00 petang – 7.00 malam
Kru Jejak Rasul meninjau suasana sehari sebelum Syawal di Baitulmaqdis. Mereka juga merakamkan cara pengumuman Satu Syawal dibuat. Turut memaparkan kegembiraan penduduk kota suci itu dengan membakar mercun, mengantung lampu neon bewarna warni pada malam hari raya. Kru juga menunaikan solat subuh di Masjidil Aqsa pada pagi Syawal, takbir raya bergema sebaik usai solat Subuh. Takbir berakhir apabila jemaah mendirikan solat sunat Aidilfitri. Selepas khutbah raya, jemaah bersalaman serta berpelukan antara satu sama lain, suasana ceria terpancar di seluruh kota Baitulmaqdis. Kru seterusnya meninjau kawasan perkuburan, anehnya suasana sepi. Warga Palestin menziarahi kubur keluarga mereka ketika Ramadan dan bukan pada pagi Raya. Seterusnya, kru dijemput ke rumah dua buah keluarga Palestin untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka.

Kisah Mualaf, Raya Kedua, 7.30 petang – 8.00 malam
Mengisahkan Pak Jerry dan Nasyid Safiya orang bukan Islam yang menerima hidayah memeluk agama Islam. Penceritaan Mualaf yang merangkumi sejarah hidup, sejarah hitam, cabaran dan rintangan, tiada ketenangan jiwa, mula mendekati Islam, mula memeluk Islam, sokongan dan dorongan yang diterima, asuhan pendidikan Islam dan sebagainya.

Unsung Places Echoes of Ummah Raya, Raya Ketiga, 7.30 petang – 8.00 malam
Saksikan pengembaraan Fakhrulradhi yang merentasi Asia Selatan ke Asia Tenggara untuk mendekati setiap individu, berkongsi amalan tempatan, mengetahui persiapan menjelang Aidilfitri dan momen yang menjadi kelaziman mereka. Ia juga fokus kepada identiti ‘ummah’ yang menceritakan makna hari kemenangan bagi seluruh masyarakat Islam dan bagaimana gema Islam mampu dirasai biarpun bergelar masyarakat minoriti.

Budak Zapin, Raya Keempat, 6.00 petang – 7.00 malam
Lokasi penggambaran dijalankan di Felda Labis, Johor, Budak Zapin memaparkan pertandingan persahabatan antara dua kumpulan pemuda iaitu ’Sanggar Budaya’ yang diterajui anak myda bernama Faizule atau Ustaz dan kumpulan ’Seri Pengkalan’ yang diketuai oleh Taufik atau Topeq. Mereka hanya diberikan beberapa jam untuk sesi latihan dan ’bertapa’ di lereng Gunung Ledang. Siapa sangka, orang muda yang kita tidak nampak gaya seorang penari, rupa-ruapanya begitu hebat di pentas Zapin. Ia juga merupakan satu pengalaman yang mencabar tetapi amat menarik demi melihat citra budaya terpancar di kaca TV buat pencinta budaya. Kumpulan manakah yang bakal menang?

Ceritaku (2 episod), Raya Kesepuluh & Raya Kesebelas, 7.30 petang – 8.00 malam
Ceritaku memaparkan kisah - kisah benar yang menyayat hati dan membawa penonton melawat ke tempat kejadian serta mengimbas kembali saat kejadian itu berlaku. Mangsa yang ditemubual akan berkongsi perasaan, luahan hati dan penderitaan yang dialami. Antara kisah yang akan dikongsikan ialah ’Cinta Abadi Hujung Nyawa’, ’Simbahan Bapa Sendiri’, ’Kanak-Kanak Mangsa Rogol Bunuh’ dan ’Adik 3 Mati Lemas’.
’Adik 3 Mati Lemas’ mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 17 Jun yang lalu dimana Zulhilmi (abang), 7 tahun, Shahmi (adik), 6 tahun dan Irfan (baby), 4 tahun, telah pergi ke sungai tanpa pengetahuan sesiapa. Ia merupakan kali pertama dan terakhir mereka mandi di sungai tersebut. Selesai mandi, dalam perjalanan pulang ke rumah, mereka berpatah balik kerana baju adik tertinggal. Dipercayai adik telah lemas akibat mengejar baju yang berada dalam sungai manakala abang dan baby mengejarnya dari tepi tebing dan akhirnya ketiga-tiga terjun ke sungai lalu lemas.

’Cinta Abadi Hujung Nyawa’ pula mengisahkan kasih seorang suami yang abadi hingga hujung nyawa. Abil mengorbankan masa dan kerjayanya untuk menjaga isterinya, Fauziah yang koma selepas otaknya tidak berfungsi akibat serangan asma yang teruk. Dalam perjalanan ke hospital selama 30 minit, tiada oksigen yang masuk ke bahagian otak Fauziah. Sejak itu, Abil telah berhenti kerja dan menjaga Fauziah sepenuh masa. Banyak dugaan yang dilaluinya sepanjang menjaga isteri tercinta yang diibaratkan seperti patung bernyawa. Fauziah telah pergi mengadap Ilahi selepas 2 tahun menderita sakit. Kini, hanya tinggal Abil keseorangan menjalani kehidupan dan bersandarkan kenangan manis bersama arwah isterinya.

Kisah ketiga pula mengenai nasib malang keluarga Imah apabila suaminya diberhentikan kerja dan mula terjebak dengan dadah. Sikap suaminya semakin teruk dan sanggup menyimbah cuka getah kepada 4 orang anak-anak mereka semasa bergaduh dengan Imah. Cuka getah itu tersimbah ke muka Lin dan percikan juga terkena pada Irfan dan belakang badan Imah. Kini, suaminya telah dipenjarakan. Imah sudah bercerai dengan suaminya. Lin pula masih menderita dengan keadaan mukanya. Namun, Lin tabah dan mula bersekolah. Harapan Imah sekarang ialah keluarganya akan mendapat sinar baru dan wajah anaknya dapat dipulihkan.

Paparan terakhir ialah kejadian kanak-kanak menjadi mangsa rogol bunuh. Keluarga Kak Ani dan suaminya bersama 6 orang anak baru berpindah dari Pahang. Suaminya kerja tidak menentu dan Kak Ani hanya seorang suri rumah. Anaknya Nur Amyliana atau lebih mesra dipanggil Cinang merupakan seorang anak yang baik dan rajin, suka menolong Kak Ani dan adik-adiknya. Cinang telah dibawa lari oleh sebuah van dan dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa pada sebelah malam. Hasil siasatan mendapati Cinang dirogol sebelum dibunuh. Keluarga Kak Ani masih sedih kerana pembunuh masih belum ditemui.


Nona Raya, Raya Kesebelas, 2.00 petang – 3.00 petang
Nona Raya bakal merungkai kisah kecantikan wanita Kelantan, iaitu 2 keluarga yang terkenal di sana,  keluarga pengacara Nona, Noor Neelofa dan keluarga usahawan wanita terkenal di Kota Bharu, Hajah Bibi Ramjani Ilias Khan dalam segmen Realiti. Segmen Inspirasi pula berkongsi kisah pasangan pertama Malaysia-Palestine, Shahrina Ahmad Sharkawi, 42, yang bertemu jodoh dengan pemuda Palestin yang jauh lebih muda dari usianya, Hasan Rezq Al Zahar, 27. Selepas berkahwin Mac lalu di Gaza, Palestine, kini mereka kembali meneruskan kehidupan di Malaysia. Gemar melakukan amal jariah, rutin harian suami isteri ini memasak Maglubah, masakah tradisi Palestine untuk diagihkan kepada rumah anak yatim dan mereka yang memerlukan. Nona raya juga berjaya menjejaki penyanyi terkenal tahun 70-an dengan lagu Nasi Dagang, Rosemaria Abdul Hamid, yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan. Segmen Fesyen mengetengahkan rekaan batik eksklusif, Batik Nadia, di Kota Bharu, yang menjadi pilihan ramai kenamaan termasuk isteri Perdana Menteri dan kerabat diraja manakala segmen Bual Cantik akan mengupas khasiat sarang burung.
Hos: Fara Fauzana dan Neelofa

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan program-program menarik di TV3 sepanjang sambutan Syawal nanti. Layari laman web rasmi TV3 di www.tv3.com.my/anugerahsyawal untuk info program raya TV3 dan juga ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Instagram & Youtube TV3Malaysia untuk berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#anugerahsyawal) bagi memeriahkan sambutan Syawal nanti. Selain menonton di TV3,  penonton juga boleh menyaksikan program-program Raya menerusi www.tonton.com.my


______________________________________________

Untuk dewasa sahaja



No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol