Panduan Membeli Arnab



Panduan Membeli Arnab
Buat Pilihan Berdasarkan Tujuan
Sebelum membeli arnab, banyak perkara yang sepatutnya anda pertimbangkan. Yang paling utama ialah tujuan anda membeli arnab itu.
Biasanya seseorang itu membeli arnab kerana ;

  • Anak-anak anda merengek minta belikan arnab
Belilah anak arnab tempatan (Local long eared hare / arnab kampung) yang mempunyai warna yang cantik (oren) dan dijual dengan harga RM15.00 - RM18.00 seekor pada usia 1 bulan. Ini kerana arnab baka ini lebih tahan lasak dan mudah dipelihara. Arnab jenis ini juga mudah jinak dan manja jika anda rajin melayannya. Ia juga dari jenis yang mudah membiak dan pandai menjaga anak.Jika anda tidak mahu arnab anda membiak dengan banyak, peliharalah arnab jantan sahaja kerana menurut kajian dan pengalaman kami, arnab jantan tidak akan melahirkan anak.
  • Ramai kawan-kawan bercerita tentang pemeliharaan arnab dan anda tidak mahu ketinggalan
Anda dinasihatkan tidak membeli arnab atas sebab ini semata-mata. Jika anda tidak mahu mengalah juga, belilah arnab dari jenis yang lebih mahal dari apa yang mereka ada dan tayanglah arnab anda itu kepada mereka. Walaubagaimanapun, anda perlu pastikan arnab yang anda beli itu benar-benar berkualiti dan dari baka yang terjamin serta dari tangan pembiak baka yang disegani. Jika anda tertipu atau membeli baka yang tidak betul nescaya anda akan digelakkan oleh kawan-kawan anda. Barulah padan muka anda !
  • Jiran-jiran ada memelihara arnab dan anda tidak mahu ketinggalan
Anda juga dinasihatkan tidak membeli arnab atas sebab ini . Jika anda tidak mahu mengalah juga, belilah arnab dari jenis yang lebih mahal seperti Rexa, Rex, English Angora dan sebagainya serta dalam kuantiti yang lebih banyak dari jiran-jiran anda. Kemudian tayanglah arnab anda itu kepada mereka serta perlekehkan mereka. Seterusnya anda juga digalakkan mencabar mereka supaya membeli arnab yang mahal seperti anda. Walaubagaimanapun, anda perlu juga pastikan arnab yang anda beli itu benar-benar berkualiti dan dari baka yang terjamin serta dari tangan pembiak baka yang disegani. Jika anda tertipu atau membeli baka yang tidak betul nescaya anda akan digelakkan oleh jiran-jiran anda. Barulah padan muka anda !
  • Tertarik kerana rupanya yang comel dan bulunya yang gebu
Anda seorang yang tahu menghargai nilai estetika. Anda perlu diperingatkan bahawa anak arnab yang kelihatan comel itu akan berubah rupanya dan bulunya menjadi kasar apabila dewasa (4 - 6 bulan). Jadi pertimbangkanlah untuk memelihara arnab yang mempunyai rupa yang comel dan bulu yang kekal gebu hingga dewasa seperti arnab jenis Rex, American Chincilla, Teddy Bear, Jersey Wooley, Turkey Angora, dll. Untuk pengetahuan anda, arnab jenis English Angora, Turkey Angora, Teddy Bear dan Jersey Wooley biasanya mengalami masalah bulu bersimpul (hairball) apabila dewasa. Jika anda tidak bersedia untuk menguruskan masalah ini, elakkanlah membeli arnab jenis ini sebaliknya pilihlah arnab Rex yang berbulu lembut seperti baldu atau American Chincilla yang tidak berbulu panjang.
  • Anda memang seorang yang menyayangi hawan dan ingin memeliharanya sebagai haiwan kesayangan
Jika anda seorang yang berduit, belilah arnab yang bernilai agak tinggi seperti Rexa, Rex, English Angora, Teddy Bear, Jersey Wooley, Turkey Angora, dll. Ini kerana arnab ini sangat diminati ramai dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Disamping menyayanginya anda juga boleh berbangga kerana memilikinya. Jika anda tidak mempunyai bajet yang besar, memadailah anda membeli arnab jenis lion head yang berkualiti (G1) kerana arnab lion head G1 juga mempunyai nilai estetika yang tinggi dan mempunyai peminatnya tersendiri di seluruh dunia. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati kerana arnab jenis ini tidak boleh dibeli dari penternak arnab atau penjual arnab di pasar malam atau uptown.  Arnab jenis ini hanya boleh diperolehi dari pembiak baka arnab yang berpengalaman. Arnab lion head yang dijual oleh penternak arnab atau penjual arnab di pasar malam atau uptown dengan harga sekitar RM35.00 seekor adalah anak arnab lion head G2 dan G3 malah ada juga dari gred G4 kerana dibiakkan dari baka lion head sedangkan lion head G1 bukan dibiakkan dari arnab lion head sebaliknya dihasilkan dari kacukan dua jenis arnab tertentu yang menghasilkan arnab jenis lion head ! Harga pasaran arnab lion head G1 ialah antara RM65.00 (1 bulan) |  RM85.00 (2 bulan) | RM120.00 (3 bulan) | RM180.00 (4 bulan). Jarang sekali pembiak baka menjual arnab lion head G1 yang berusia lebih 4 bulan.
  • Anda pernah memelihara arnab dan arnab anda mati lalu anda membelinya semula
Hentikanlah hobi anda membeli arnab. Anda perlu merujuk kepada penternak atau pembiak baka yang berpengalaman terlebih dahulu untuk mendapatkan bimbingan dan panduan yang betul. Setelah anda yakin menemui kaedah mengatasi masalah kematian arnab anda, barulah anda cuba semula meneruskan minat memelihara arnab. Ini kerana walaupun memelihara arnab tidak susah tetapi anda memerlukan pengetahuan khusus supaya anda tidak mengulangi kerja yang sia-sia.
  •  Ingin memeliharanya sekadar suka-suka dan cuba membiakkannya. Kalau berjaya boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan
Sebelum membeli arnab, anda disarankan mengubah sikap anda. Anda tidak sepatutnya meneruskan hasrat anda jika sekadar ingin mencuba nasib. Bidang penternakan arnab bukan suatu bidang yang boleh diambil mudah. Anda perlu menimba pelbagai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini jika ingin berjaya. Dengan pengetahuan dan pengalaman, anda boleh menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan sampingan malah boleh juga memajukannya sebagai sumber pendapatan yang lumayan.
  • Arnab nampaknya laris di pasaran dan berpotensi dijadikan sumber pendapatan
Janganlah anda teruja kerana melihat jualan anak arnab yang laris lalu mengambil keputusan untuk memulakan projek ternakan arnab. Anda perlu mengambil kira dan merancang pelbagai aspek untuk berjaya seperti kaedah pemasaran yang sesuai, jenis arnab yang akan mendapat sambutan, kapasiti permintaan dalam sesuatu jangka masa, kapasiti pengeluaran sedia ada di pasaran dan sebagainya. Rancanglah projek anda dengan teliti, elakkan kesilapan pemilihan baka, tetapkan kapasiti pengeluaran, dan plan pemasaran yang jelas
  • Ingin belajar memelihara arnab dan cuba menceburi bidang penternakan arnab
Dapatkan bimbingan dan panduan dari penternak atau pembiak baka yang berpengalaman terlebih dahulu. Lengkapkan diri anda dengan pengetahuan yang perlu. Seterusnya rancanglah plan projek yang jelas. Dapatkan bekalan baka yang sesuai dan berkualiti dari pembiak baka yang boleh dipercayai. Elakkan sikap sekadar mencuba. Rancang projek kecil secara praktikal disamping banyak membuat rujukan untuk meningkatkan potensi diri.
  • Ingin memulakan perusahaan ternakan arnab secara kecil-kecilan
Pastikan halatuju anda terlebih dahulu. Rancang projek anda dengan teliti. Tentukan jenis produk atau baka yang ingin anda hasilkan. Kenalpasti kemampuan diri sebelum menentukan saiz projek. Sediakan diri dengan pengetahuan dan pengalaman dan sertai kumpulan penternak sekitar anda untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.
  • Ingin mengusahakan penternakan arnab secara komersil
Sehingga kini, bidang penternakan arnab bukan suatu bidang komersil. Projek ternakan dan biak baka arnab secara kecil-kecilan yang terancang lebih berjaya dan lebih menguntung .
Beli dari Pembiak Baka yang Berwibawa
Anda disarankan agar membeli arnab dari pembiak baka yang berwibawa kerana baka yang bakal anda pelihara dan biakkan nanti akan mendapat kepercayaan pembeli yang lain pula. Selain itu, pembiak baka yang berwibawa akan menjaga reputasinya maka mereka akan memastikan baka yang dijual adalah tulen atau memberi keterangan yang jelas terhadap baka yang dihasilkannya dan akan mengurangkan risiko anda tertipu.
Anda juga perlu membezakan antara penternak dan pembiak baka. Ramai penternak yang mengaku sebagai pembiak baka sedangkan mereka tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman terperinci dalam bidang ini malah ramai di antara mereka tidak dapat mengenal jenis-jenis arnab dengan tepat. Saya sering mendapat aduan dari pembeli yang merasakan diri mereka tertipu setelah arnab yang dipelihara mencapai umur matang dan gagal menunjukkan rupa dan ciri-ciri jenis arnab yang dinyatakan penjual misalnya pembeli membeli anak arnab Angora dengan harga yang mahal tetapi apabila besar arnab lionhead jadinya. Ada juga pembeli yang membeli arnab yang didakwa jenis Hotot, "celak pure" kata penjualnya tetapi apabila dirujuk kepada saya, didapati arnab itu cuma arnab pedaging yang mempunyai tompok hitam pada sekitar ke dua belah matanya. Selain itu, ada juga rakan saya yang terbeli anak arnab tempatan yang berusia tidak sampai 3 minggu yang didakwa penjual sebagai Netherland Dwarf.

Anak arnab yang berusia sekitar 3 minggu - 1 bulan memang kelihatan hampir serupa antara kebanyakan jenis namun pembiak baka yang berpengalaman dapat membezakannya dengan mudah malah menelah rupa dan kualitinya apabila dewasa.

1 comment :

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol