WhatsApp - Syarikat telekomunikasi tempatan mungkin akan rugi



KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat-syarikat telekomunikasi (telko) tempatan dijangka berhadapan kesukaran, apabila aplikasi perhubungan utama telefon pintar (OTT) seperti WhatsApp dijangka memperkenalkan perkhidmatan suara.

Perkembangan itu sedikit sebanyak mendatangkan kerisauan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan memandangkan segmen suara masih menyumbang 50 hingga 60 peratus pendapatan kepada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif WhatsApp, Jan Koum pada Februari lalu mengumumkan syarikatnya merancang untuk memasukkan kemudahan panggilan suara di dalam aplikasi tersebut menjelang pertengahan tahun ini.
Malah, beberapa siri percubaan kemudahan itu sedang dilakukan yang telah mendapat liputan media segmen teknologi maklumat dan komunikasi.
“Telko terus berhadapan kesukaran menjana perolehan akibat kemunculan aplikasi-aplikasi percuma ini.
“Aplikasi-aplikasi tersebut sendiri telah menjejaskan pendapatan telko melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), ekoran kadar penggunaan telefon pintar yang bertambah selain tiada kaedah tersebut lebih murah dan efektif," jelas nota kajian RHB Research di sini hari ini.
Pada masa sama menurut kajian itu, penggunaan OTT yang semakin meningkat juga tidak menjanjikan kadar penggunaan internet yang tinggi, sekali gus menyukarkan telko menjana pendapatan.
Namun jelas nota kajian itu, sehingga kini status penghasilan kemudahan panggilan suara oleh WhatsApp itu masih belum dipastikan. Tetapi kajian itu tetap menyifatkan pengguna masih sanggup membayar apa-apa caj perkhidmatan suara jika kualitinya terjamin.
“Telko sebenarnya menyedari carabaran daripada OTT ini, dan mereka mungkin menyusun kembali perkhidmatan data bagi memastikan perolehan maksimum dapat dijana menerusi data," jelas nota kajian itu lagi.
Ketiga-tiga syarikat telko utama tempatan iaitu Maxis, Celcom dan Digi masing-masing menjana pendapatan antara RM900 juta hingga RM1.2 bilion setiap suku tahun 2013.



No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol