Sidang Akhbar Anzalna Dan Neelofa




KUALA LUMPUR – Hari ini telah berlangsungnya sidang media anjuran Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bagi meleraikan pergolakan antara dua artis muda, Nur Anzalna Md Nasir dan Noor Neelofa Mohd Noor.

Anzalna secara terbuka telah memohon maaf kepada Neelofa di atas kenyataan yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya.
Berlangsung di Hotel Royale Bintang, Damansara, majlis sidang media itu nampaknya penuh dramatik.
Mana tidaknya, pihak media agak terkejut dengan kenyataan spontan yang dikeluarkan oleh Anzalna sewaktu sidang media itu.
“Oh I kena ikut syarat you eh?,” ujar Anzalna sebelum membaca skrip permohonan maaf kepada Neelofa.
Adakah segala permohonan maaf yang berlangsung pada hari ini penuh dengan keikhlasan atau ada pihak yang cuba mengenakan pihak yang lain?
Masing-masing telah menandatangani perjanjian yang telah dikeluarkan oleh pihak Seniman mengikut perlembagaan persatuan itu yang menjadi medium menyelesaikan persengketaan mereka.
Jika benar permohonan maaf itu ikhlas dari hati Anzalna, kenapa Anzalna seperti didesak untuk membaca skrip dan bukannya meluahkan dari hatinya sendiri.
Nampaknya, usaha inisiatif yang ditunjukkan oleh pihak Seniman telah menimbulkan sedikit kemusykilan di kalangan pihak media serta hadirin yang hadir apabila mereka berdua tidak bersalaman selepas menandatangani perjanjian itu.
Seolah-olah masih ada perkara atau isu pokok yang terdendam di hati mereka.
Setelah selesai majlis tersebut, Anzalna terus bergerak meninggalkan majlis dan Neelofa pula terperangkap dalam kalangan media apabila dia mula diajukan pelbagai soalan.
Namun, pihak Melodi (TV3) telah sempat menemubual Anzalna berkenaan pergolakan yang berlaku antara dia dan Neelofa.
“Syukur alhamdulillah kerana perkara ini telah selesai dan Anzalna tak nak perkara ini berpanjangan kerana ia akan mengaibkan lagi ramai orang.
“Mungkin benda ini dimanipulasikan oleh orang tertentu dan Anzalna buat semua ini kerana Allah,” kata Anzalna dalam nada sebak sambil menitiskan air matanya ketika ditemubual oleh pihak Melodi.
Ujarnya lagi, sebagai manusia kita tidak mengetahui bila kita akan menemui ajal. Maka, dia mengambil positif usaha itu dan memohon maaf kepada Neelofa dengan ikhlas secara terbuka.
Pada masa yang sama, Neelofa juga bersyukur kerana masalah itu tidak berpanjangan dan berterima kasih kepada Seniman kerana menjadi medium terbaik dalam menyelesaikan masalah itu.
“Saya berharap supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi kepada diri saya juga kepada mana-mana artis lain,” kata Neelofa kepada pihak media setelah diajukan pelbagai soalan.
Neelofa yang hadir bersama dua orang peguamnya telah memaafkan Anzalna terhadap tindakan Anzalna yang telah mencemarkan namanya dan keluarga serta menjejaskan kerjayanya.
Menurutnya, dia juga tidak akan mengenakan sebarang tindakan undang-undang terhadap Anzalna berdasarkan perjanjian yang telah dikeluarkan oleh pihak Seniman demi menjaga nama baik dirinya.
kredit: HARITS ASYRAF 

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol