Uncleseekers didapati positif dadah



JOHOR BAHRU: Ujian air kencing yang dijalankan polis terhadap pengendali laman blog www.uncleseekers.blogspot.com, Syed Abdullah Syed Hussein mendapati beliau positif dadah jenis morfin.

Jabatan Siasatan Jenayah Johor dalam kenyataan hari ini, berkata ujian air kencing itu dijalankan terhadap Syed Abdullah pada pukul 1.25 petang tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya. "Laporan polis telah dibuat dan kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Nusajaya di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," kata kenyataan itu.
Semalam, Polis Johor menahan Syed Abdullah yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang didakwa menfitnah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi laman blognya.

Penangkapan beliau yang turut dikenali dengan gelaran 'Uncleseekers' bersama seorang wanita, Siti Nadhirah Mohd Zain pada pukul 9.45 malam di Plaza Tol Senawang, Seremban dilakukan anggota polis IPD Nusajaya.

Menurut kenyataan itu, Syed Abdullah dan Siti Nadhirah ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Polis Johor turut memperoleh perintah reman terhadap kedua-dua mereka selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah daripada Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam bagi membantu siasatan.
Ahad lalu, 30 individu membuat laporan polis terhadap Syed Abdullah berhubung penulisan dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor. - BERNAMA

1 comment :

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol