Safee cedera



ATAS kertas, jentera pasukan Thailand lebih ampuh jika dibandingkan pemain kebangsaan yang kini dihimpit krisis kecederaan, sekali gus mengganggu persiapan menjelang aksi separuh akhir pertama yang akan berlangsung pada Ahad ini.


Malah, penyerang berbisa, Datsakorn Thonglao yang boleh beraksi semula cukup melegakan pengendali Thailand, Winfried Schafer, sekali gus mengakui pasukannya bebas daripada sebarang masalah kecederaan.

Berbanding kem kebangsaan yang setakat ini, empat pemain dalam senarai bermasalah, antaranya Safee Sali, S Kunanlan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Shakir Shaari.

Justeru itu, penyerang Harimau Malaya, Safee Sali mahu rakan sepasukan fokus dan cuba mencatat kemenangan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Bangkok, 13 Disember ini.

"Saya harap dapat memberi persembahan terbaik untuk perlawanan separuh akhir ini. Thailand pasukan yang hebat dan kami perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengurangkan kesilapan," kata Safee yang berharap kecederaan otot paha dialaminya sempat pulih sepenuhnya bagi beraksi pada perlawanan tersebut.
Safee juga sekali lagi mengharapkan sokongan padu penyokong tempatan supaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Jika Malaysia mampu melepasi halangan ranjau berduri di separuh akhir, pasukan Filipina atau Singapura menjadi penghalang pada aksi final dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dijulang negara, dua tahun lalu di Jakarta, Indonesia.

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol