‘Kantoi’ Sebelum Naik Pelamin!




BATU PAHAT- Tidak sabar untuk hidup bersama sebagai sepasang suami isteri, sepasang kekasih yang hanya menunggu tidak sampai sebulan untuk diijabkabulkan ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

Dalam operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan lingkungan 20-an itu pada mulanya berlagak seolah-olah sepasang suami isteri sebelum siasatan membongkar status sebenar hubungan mereka yang masih belum bernikah.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit enggan membuka pintu.
Menurutnya, selepas beberapa kali pintu diketuk, baru lah pasangan terbabit akhirnya membuka pintu berkenaan.
“Selepas pintu bilik dibuka, kami dapati pasangan berkenaan ketakutan selepas menyedari perlakuan sumbang mereka bakal diketahui.
“Kami dapati pasangan itu belum mempunyai ikatan sah dan tetap dikenakan tindakan kerana berada dalam bilik tertutup dan berdua-duaan sedangkan mereka bukan mahram,” katanya.
Saiful Ariffin berkata, setiap ibu bapa perlu mengingatkan anak masing-masing batasan pergaulan walaupun mereka sudah bertunang dan menunggu masa untuk bernikah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJSJ) 1997.
“Selagi belum ada ikatan, ibu bapa dan individu itu sendiri perlu menjaga batas pergaulan masing-masing,” katanya.- Harian Metro

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol