Polis Evo RM17.30 juta



FILEM Polis Evo terbitan Astro Shaw dan diproduksi oleh Tayangan Unggul telah mencatat sejarah dunia perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip RM17.30 juta selepas 42 hari ditayangkan di 83 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.


Filem yang diarahkan Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh produksi Astro Shaw iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf ini berjaya mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam perfileman negara, sekali gus memecah rekod kutipan tiket paling tinggi yang dipegang filem The Journey juga terbitan Astro Shaw, yang meraih RM17.28 juta pada 2014.

Mula ditayangkan pada 17 September lalu, Polis Evo merupakan filem bergenre aksi dan memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.

Filem aksi dan jalan cerita yang mengangkat martabat anggota polis dalam kegiatan membasmi jenayah serta turut menyajikan elemen persahabatan dan kekeluargaan ini telah mencipta satu fenomena baharu sehingga berjaya menarik hati penonton untuk terus melabur di panggung. Menariknya, filem ini masih berada di 71 pawagam seluruh negara untuk minggu ke-7.

Menurut Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, meskipun industri perfileman tempatan mengalami masalah kutipan tiket yang suram di pawagam, namun masih ada beberapa karya mampu dibanggakan.

"Pihak Astro Shaw, termasuklah pelakon dan pekerja filem merasa bersyukur dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia serta rakan media yang sentiasa menyokong dan meletakkan filem Polis Evo di kedudukan rating tertinggi menerusi kutipan pecah panggung terbesar sepanjang zaman.

“Memandangkan kejayaan ini, Polis Evo berjaya menjadi penanda aras industri perfileman negara. Masyarakat Malaysia kini semakin peka dan bijak menilai kualiti sesuatu filem diterbitkan," katanya.


Selepas ini, Astro Shaw bakal tampil dengan sebuah filem romantik bertajuk Langit Cinta bagi pembukaan tahun 2016. Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 7 Januari 2016.


kredit : sinarharian.com.my

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol