Kesilapan Ombak Rindu

Walaupun dipuji melambung oleh peminat-peminat industri hiburan tanahair dan mendapat sambutan hangat dengan jumlah kutipan jualan tiket mencecah RM10.01 juta sehingga 30 Disember lalu, Ombak Rindu tidak terlepas melakukan kesilapan.
Sebuah blog pengkritik filem, Goofspotonfilm.blogspot.com (Goof Spot), menyenaraikan lebih 20 kesilapan filem Ombak Rindu yang mungkin tidak disedari oleh ramai penonton filem tersebut setelah diteliti dari sudut ‘shot’, audio dan visualnya.

Antara kesilapan-kesilapan yang dikenal pasti oleh pemilik blog itu ialah mengenai arah laluan keretapi yang dinaiki Izzah untuk ke Kuala Lumpur adalah bertentangan dengan arah sebenar dan menunjukkan ia menuju ke arah Arau atau Thailand.
“Scene keretapi ini dilakonkan di stesen kereta api Alor Star. Ianya berdasarkan struktur stesen dan kawasan yang dalam pembinaan, yang mana adalah dahulunya adalah bangunan lama. Dalam filem ini, Izzah naik tren nak ke Kuala Lumpur.

“Dalam realitinya, tren yang dinaiki Izzah sebenarnya menuju ke Arau dan seterusnya ke Siam. Untuk ke Kuala Lumpur, tren sepatutnya datang dari arah yang berlawanan. Dan, tren tersebut hanya ada pada waktu malam,” dakwa pemilik blog tersebut.
Menggelikan hati, Goof Spot turut mendedahkan mengenai sikap ambil mudah produksi Ombak Rindu mengenai pakaian yang dipakai hero filem, Haris, yang sekejap basah dan kering begitu cepat sekali.
“Haris yang basah kuyup sebab tolong Izzah masuk ke dalam kelab malam dengan baju putih yang dipakainya tadi semasa menyelamatkan Izzah.

“Peliknya, bajunya kering dan tidak menunjukkan tanda tanda basah sedikit pun (walaupun ada adegan Haris lap mukanya dengan tisu). Sempat plak Haris betulkan rambutnya yang basah tu ek.

“Malah, semasa Haris buka bajunya dan menampakkan singlet. O mai goodness, singletnya tak kelihatan basah dan melekit ke badan pun.

“Malah, baju yang sama, seluar jeans basah dan dengan kasut yang sama juga dipakai sehinggalah dia balik berjumpa mamanya. Nampaknya Haris memang suka pakai baju, seluar dan kasut basah. Ha3,” katanya menyindir tentang logik filem tersebut.

Selain itu, Goof Spot turut mempertikaikan tentang sekeping gambar di dinding bilik yang muncul tiba-tiba di dalam bilik Izzah.
“Sekeping gambar muncul di lajur tengah bawah secara tiba lepas tukar syot,” katanya lagi.

Blog itu turut mempersoalkan mengenai sebuah bakul sampah di dalam bilik air yang ditendang Haris yang gagal dikesan hilang entah ke mana.
“Bakul sampah yang disepak Haris hilang entah kemana walaupun tak ada siapa pun ubah semasa Haris angkat Izzah,” katanya kecewa kerana gagal mengesan bakul sampah itu.

Begitu juga dengan tali yang sepatutnya berada di depan hujung sampan di dalam adegan jam Izzah terjatuh ke dalam sungai, tali itu juga hilang tiba-tiba sebagaimana bakul sampah tersebut.

Pemilik blog itu juga mempertikaikan mengenai pergerakan bibir pada beberapa dialog filem yang tidak sama dengan audio filem yang mungkin disebabkan oleh kelemahan rakaman suara filem Ombak Rindu itu.
“AUDIO PROBLEM / Synchronization: Semasa Afiah cakap ‘I dan Haris tak ada apa2 hubungan’, ucapannya tak sama dengan bibirnya.

“AUDIO PROBLEM / Synchronization: Mulut Izzah masih bergerak walaupun dia dah selesai sebut ‘… sementara Pak Dollah dan Mak Jah balik’ dalam syot selepas itu,” kritiknya lagi.
Goof Spot turut mendedahkan ‘auta’ filem itu pada adegan Haris menghubungi Izzah menggunakan telefon rumah dan nombor yang tertera di telefon bimbit Izzah menunjukkan nombor telefon Haris bermula dengan nombor 010 atau 016.
“FAKTA ATAU AUTA: Haris telefon Izzah guna telefon rumah. Tetapi, di handphone Izzah, korang akan nampak nombor 010 ataupun 016 (which means that panggilan ini dari nombor telefon bimbit).
Malah, nama pemanggil, ‘Abang Haris’ tertera di skrin walhal Haris tidak menggunakan telefonnya untuk call Izzah,” kata pemilik blog itu mendedahkan kelemahan filem itu.
Untuk melihat dan membaca lagi kelemahan-kelemahan filem ‘air mata’ itu, para pembaca boleh melayari blog tersebut di “http://goofspotonfilm.blogspot.com/2011/12/ombak-rindu-2011.html”.
Bagaimanapun, syabas kepada Ombak Rindu dengan penghasilan karya yang indah menyayat hati serta mampu menyentuh perasaan ramai peminat industri filem tanahair pada penghujung tahun 2011 ini dan kesilapan-kesilapan kecil ini mungkin dapat diperbaiki pada masa akan datang.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol