Ana Nikah Dengan Rakan Karib Bulan ini



KUALA LUMPUR – Sebelum ini, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, atau Ana Raffali enggan mengulas lanjut berkenaan dengan isu atau khabar angin berhubung dia akan bernikah kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada persembahannya dalam Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26).

Namun, Ana telah meleraikan segala ‘rahsia’ dalam sidang akhbar yang diaturkan untuk mengumumkan majlis perkahwinanannya pada 25 Februari ini di PNB Darby Park baru-baru ini.
Ana telah memilih rakan karibnya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, atau Naim sebagai pasangan hidupnya setelah memulakan perkenalan mereka pada tahun 2005.
Ana mengakui sukar mempercayai golongan lelaki selepas beberapa kali dikecewakan, namun Naim telah merubah segala persepsi dan tanggapan buruk dia terhadap golongan lelaki.
“Dia seorang yang penyabar dan sangat memahami diri saya. Sedikit demi sedikit perasaan sayang mula wujud dan kami bercinta secara rasminya pada 8 Oktober 2008.Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap yang kami adalah pasangan bercinta sebaliknya lebih senang dengan gelaran kawan karib.
“Malah ketika saya dilamar, Naim terus berkata “jom kahwin” dan keluarganya terus merisik saya pada awal Disember tahun lalu. Dia langsung tak romantik,” kata Ana.
Sementara itu Naim yang bekerja sebagai pengurus kerjaya seni Ana berkata, dia gembira kerana akhirnya hubungan teman rapat itu menjadi satu ikatan suami isteri yang sah dan ia lebih memudahkan mereka untuk bergerak ke mana-mana tanpa ada batasan.
Ana dan Naim bakal disatukan pada 25 Februari ini di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini.
Majlis dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, Ana akan dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.
Dalam pada itu, acara resepsi pula diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut berlangsung.
Pada majlis pernikahan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu berkata, wang hantaran tidak akan diberikan sebaliknya pihak perempuan hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.
Bagaimanapun, Ana sempat memberitahu dia tidak akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya selepas berumah tangga.
Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol