KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat MH370 yang tidak dapat dikesan sejak 8 Mac lalu hilang di Lautan Hindi.

Dalam sidang media tergempar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, beliau berkata, maklumat tersebut diperoleh dari data terbaru yang dianalisis oleh Inmarsat, syarikat United Kingdom yang menyediakan data satelit dan  Air Accidents Investigation Branch (AAIB).

"Berdasarkan maklumat yang diterima, saya dengan dukacitanya memaklumkan penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi,"

"Maklumat ini telah diterima dan dianalisis AAIB berdasarkan data satelit yang disalurkan oleh Inmarsat," katanya dalam persidangan media hari ini.

Menurutnya, berdasarkan teknik analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan sebegitu, mereka mendapat lebih banyak petunjuk mengenai laluan penerbangan MH370.

Beliau berkata, data terbaru menunjukkan MH370 telah meneruskan penerbangannya ke koridor selatan dan hilang di pertengahan Laut Hindi di barat Perth.

"Kawasan ini terpencil, jauh daripada sebarang kawasan yang boleh dilakukan pendaratan," kata Najib lagi.

Menurutnya, perkembangan terbaru dalam usaha pencarian pesawat itu telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak keluarga penumpang dan krew.

Beliau turut memberikan jaminan untuk memaklumkan sebarang perkembangan terbaru mengenai MH370 dan berharap keluarga penumpang dan pesawat dapat menerima berita ini dengan tabah.