Kisah Di Sebaliknya… “Apa Khabar”
Mengulas mengenai kolaborasi bersama SonaOne menerusi lagu “Apa Khabar”, Joe Flizzow mengklasifikasikan lagu tersebut sebagai luahan rasanya. Joe menampilkan kelainan dengan membawakan mesej persahabatan antara dua lelaki.
“Lagu ini bersifat peribadi kepada saya kerana ia merupakan luahan rasa saya. Lelaki jarang meluahkan perasaan, namun kata-kata tersebut dizahirkan melalui penulisan lagu. Lagu “Apa Khabar” dirakamkan oleh saya seorang diri dalam studio bagi betul-betul mendapat ‘feel’ untuk lagu berunsur melankolik.
“Beberapa baris pertama lagu tersebut mengenai rasa kesunyian manakala idea selebihnya timbul secara spontan. Secara tidak langsung peminat-peminat Too Phat mendapat gambaran mengenai situasi antara saya dan Malique yang tidaklah seburuk mana seperti yang disangka,” kata Joe.
p>Menurutnya, peminat-peminat Too Phat berhak untuk sedikit sebanyak mendapat gambaran mengenai nasib kumpulan hip hop tersebut. Selain membawa kegembiraan kepada peminat Too Phat, lagu tersebut juga menangkis kontroversi yang mengatakan Joe dan Malique sudah tidak bertegur sapa.
“Saya belum lagi berjumpa dengan Malique tetapi saya telah memaklumkan kepadanya mengenai lagu serta muzik video “Apa Khabar” sehari sebelum ianya dimuat naik di laman sosial. Saya menerima pesanan ringkas daripada Malique yang berbunyi ‘It’s a good video’ yang mana saya rasa dia juga menyukai video ini.
“Ini merupakan lagu tentang persahabatan yang mana saya ingin memberitahu kepada peminat bahawa kami masih lagi baik seperti dahulu. Kami tidak pernah bergaduh atau berselisih faham selepas membawa haluan masing-masing,” ujar Joe.
No comments :
Post a Comment