Penyaluran BR1M terus ke akaun penerima





Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mulai 22 Februari ini bertujuan memudahkan urusan pemindahan wang kepada penerima bantuan kerajaan itu.
   
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan mengambil perhatian terhadap semua maklum balas oleh penerima BR1M dan pengalaman menguruskan penyampaian BR1M sebelum ini.
   
"Sebelum ini, penerima BR1M perlu menunggu lama dan beratur panjang untuk menerima wang BR1M sehingga menyebabkan keadaan tidak selesa, sehubungan itu, kabinet telah sebulat suara meluluskan pemberian BR1M 3.0 kali ini disalurkan terus kepada penerima menerusi akaun bank tanpa melalui pelbagai prosedur yang menyusahkan," katanya.
   

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn Bhd, di Cyberjaya dekat sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) Datuk Badlisham Ghazali dan Pengarah IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn Bhd, Craig Tucker.
   
Ahmad Shabery mengulas kenyataan beberapa pihak bahawa pemberian BR1M terus ke akaun penerima akan menghalang interaksi antara pemimpin BN dan rakyat kerana sebelum ini penyampaian BR1M diadakan dalam pelbagai majlis yang dianjurkan di seluruh negara.

Dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang layak akan menerima bantuan BR1M sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM300.
   
Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan bantuan itu yang dinikmati hampir 7.9 juta rakyat Malaysia.
   
Ahmad Shabery berkata terdapat pelbagai cara untuk pemimpin masyarakat dan pertubuhan yang menyokong kerajaan untuk berinteraksi dengan orang ramai selain daripada majlis penyampaian BR1M.
   
Katanya penyaluran wang bantuan itu secara terus kepada penerima adalah membuktikan keikhlasan kerajaan membantu rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup dan untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa sistem urusan kerajaan dan urusan perbankan adalah cekap dan amanah.
   
Mengenai IBM Global Delivery Centre (Malaysia) Sdn Bhd (IBM Global), beliau berkata syarikat terkemuka itu telah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sejak ia melakukan pelaburan dengan menempatkan pejabatnya di Cyberjaya yang mengambil konsep Lembah Silikon di Amerika Syarikat.

Ahmad Shabery berkata beliau difahamkan ramai warga tempatan yang berkemahiran tinggi kini bekerja di IBM Global dengan memperoleh gaji yang lumayan iaitu bermula dari RM5,000 dan ke atas sebulan.
   
"Itu sebabnya, rakyat Malaysia perlu mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran tinggi untuk memperolehi gaji yang tinggi, sesuai dengan kehendak pasaran sekarang," katanya.
   
Beliau berkata Cyberjaya sedang berkembang maju apabila pada tahun lepas sahaja, jumlah pelaburan diterima termasuk dari syarikat-syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah RM2.9 bilion. - 



kredit :Bernama

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol