Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mulai 22 Februari ini bertujuan memudahkan urusan pemindahan wang kepada penerima bantuan kerajaan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan mengambil perhatian terhadap semua maklum balas oleh penerima BR1M dan pengalaman menguruskan penyampaian BR1M sebelum ini.
"Sebelum ini, penerima BR1M perlu menunggu lama dan beratur panjang untuk menerima wang BR1M sehingga menyebabkan keadaan tidak selesa, sehubungan itu, kabinet telah sebulat suara meluluskan pemberian BR1M 3.0 kali ini disalurkan terus kepada penerima menerusi akaun bank tanpa melalui pelbagai prosedur yang menyusahkan," katanya.

