Nabil Bakal Gantikan Sharifah Shahirah?





















KUALA LUMPUR – Juara Raja Lawak pada musim ke-2, Ahmad Nabil Ahmad, 25, dikhabarkan telah ditawarkan menjadi penyampai radio atau ‘deejay’ di stesen radio Suria FM.
Menurut sumber daripada blog Zon Artis, Nabil bakal mengendalikan satu segmen khas yang bakal di keudarakan pada pertengahan Januari ini.
Keputusan memilih jejaka ‘sempoi’ ini untuk menjadi ‘deejay’ Suria FM dibuat selepas Nabil berjaya dalam satu sesi uji bakat yang diadakan di stesen itu pada penghujung tahun lalu.

Namun, Nabil ketika dihubungi bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut mengenai isu ini enggan membuka mulut dan berharap pihak-pihak tertentu sabar menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh stesen radio tersohor itu nanti.
Kalau sudah disuruh sabar menunggu, sudah jelaslah menunjukkan bahawa isu Nabil bakal dijadikan salah seorang ahli ‘keluarga’ Suria FM itu benar dan tidak dapat disangkal lagi.
Terdapat juga gosip mengatakan Nabil dipilih menjadi ‘deejay’ stesen itu kerana menggantikan Sharifah Shahirah, penyampai bagi segmen Breakfast@Suria ekoran kontrak pelakon wanita itu bakal tamat pada 24 Januari ini.
Sekali lagi, Nabil turut menyangkal dakwaan itu dan mengatakan dia tidak akan menggantikan sesiapa dalam stesen itu.


Selain menjadi pelakon dan pelawak, nampaknya Nabil juga pandai bermain teka-teki dengan pihak media dan membiarkan peminat-peminatnya terus tertanya-tanya tentang kesahihan berita ini.
Di awal kemunculan Nabil ke dalam industri hiburan tanah air, terlalu banyak kontroversi yang ditimbulkan hingga ramai yang berpendapat zaman kegemilangannya tidak akan kekal lama dan akan terus hilang kepercayaan daripada para peminat.

Dari kisah terputusnya hubungan kasih dengan pelakon manis, Irma Hasmi, hingga tersebarnya gambar-gambar ‘panas’ dengan seorang model, sudah cukup membuatkan kerjaya seninya terumbang ambing ketika itu.
Tapi, itu tidak menjatuhkan semangat Nabil untuk mengekalkan popularitinya dan berusaha bangkit dari kesilapan sendiri.
Jadi, sama-samalah kita nantikan kebenaran tentang dia bakal menjadi ‘deejay’ di Suria FM.
Sama-samalah juga kita doakan untuk Nabil dan semoga dia terus melangkah maju ke depan untuk membina kerjaya seninya. – Oleh NAIMAH SHAARI

No comments :

Post a Comment

 

Copyright 2015 © Macam Macam Cite. Design by Ayu Barbydol