Wanita ditemui mati dengan kepala ditutupi plastik
Seorang wanita ditemui mati dengan kepalanya ditutupi plastik dalam sebuah bilik di kuarters kerajaan Fasa 8 di Putrajaya.
Mayat wanita berusia 27 tahun itu dijumpai teman serumahnya dalam keadaan terbaring di atas tilam pada kira-kira 6.30 petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Teh Aisyah Mizi, juruteknik Kementerian Pelajaran dan dikatakan dalam rawatan psikiatri, yang memerlukannya mengambil ubat.
Rakan serumah mangsa, Kamariah Jamhari berkata beliau mula berasa pelik apabila terdengar bunyi seperti penggera telefon bimbit milik Teh Aisyah lebih kurang setengah jam tanpa henti.
"Selepas saya selesai solat, saya terus buka pintu bilik dan terkejut apabila mendapati dia sudah tak bergerak dan terus meminta tolong seorang lagi rakan serumah, sebelum menelefon polis," katanya kepada pemberita.
Kamariah memang tahu Teh Aisyah menjalani rawatan psikiatri, namun sepanjang mereka tinggal serumah sejak lima bulan lepas, beliau tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan mangsa.
"Tetapi baru-baru ini, dia seperti tidak cukup tidur dan saya pernah bertanya, adakah dia ingin berpindah disebabkan masalah tidak dapat tidur, tetapi dia cakap tiada sebarang masalah," katanya.
Bapa saudara Teh Aisyah yang enggan dikenali berkata mangsa memang menghidap masalah kemurungan dan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Kajang setiap bulan sejak dua tahun lepas.
"Dia juga sudah bertunang dengan seseorang yang juga bekerja di tempat sama. Sepanjang pengetahuan saya, dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan tunangnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut sehingga laporan forensik keluar.
- Bernama
sumber: http://www.malaysiakini.com/news/209363
Labels:
juruteknik
,
tekanan
,
wanita meninggal
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment